Negara Malaysia memberikan penekanan berat terhadap pendidikan kerana percaya bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai visi negara untuk memperoleh status sebagai sebuah negara yang membangun dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan kerohanian, moral dan etika ke arah membentuk masyarakat yang bersatu padu, demokratik, liberal dan dinamik. Ini juga merupakan misi pendidikan untuk membentuk sistem pendidikan bermutu dan bertaraf dunia demi merealisasikan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara Malaysia (Akta Pendidikan 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001)
Justeru, salah satu cabaran utama yang dihadapi negara kita adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya matlamat dan visi dapat dicapai. Dalam proses ini, guru bukan sahaja berpengetahuan dan inovatif tetapi perlu berdisiplin, bermotivasi dan komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Status profesion perguruan perlu dinaiktaraf demi menjadikan pengajaran dalam bilik darjah lebih menarik berbanding dengan profesion lain. Laluan ke arah mencapai matlamat ini sudah pasti menemukan banyak isu dan cabaran-cabaran pendidikan.
Terdapat isu dan cabaran pendidikan yang boleh dikategorikan seperti dalam pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan (sufean, 2004:212). Isu-isu pendidikan yang wujud sebagai fenomena memerlukan usaha yang dirancang secara sistematik untuk menanganinya. Oleh itu, guru harus berfikiran global dengan mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai isu yang harus ditangani secara lebih bijak dan penuh perhatian.
Secara khususnya, isu dan cabaran pendidikan yang dikenal pasti dalam negara Malaysia akan dibincangkan termasuk isu berkaitan dengan integrasi nasional, pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan UNESCO, globalisasi pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan dan gejala sosial.
No comments:
Post a Comment